Sewaktu mengandung, sebaik-baiknya kita membaca surah-surah di dalam Al-Quran untuk dijadikan amalan harian. Amalan ini perlu diteruskan juga sewaktu membesarkan anak-anak.

Apa ada pada doa? Amalan berdoa adalah tanda kebergantungan kita sebagai ibu bapa hanya kepada Dia. Allah Yang Maha Lembut adalah Pencipta yang sangat dekat dengan ibu bapa. Allah Yang Maha Mendengar suka mendengar doa-doa, rayuan, pengharapan dan bisikan dari ibu bapa. Berdoa memanifestasikan bahawasanya kita hanya berserah dan bermohon pertolongan kepada Dia.

Berdoa kepada anak yang bakal lahir adalah suatu permintaan suci agar Allah memudahkan proses kelahiran dan membesarkan mereka. Kekuatan berdoa adalah kepada kekuatan keyakinan ibu bapa itu sendiri untuk terus berdoa dan percaya Allah akan mendengar dan memakbulkan doa kita.

Antara bentuk doa yang lazim untuk anak:

  1. Memohon murah rezeki
  2. Memohon hati anak lembut kepada ibu bapa
  3. Memohon hati anak cenderung kepada agama
  4. Memohon kekuatan dan kesanggupan untuk mencari rezeki buat si anak
  5. Memohon kesihatan yang baik
  6. Memohon hati anak cenderung kepada ilmu bermanfaat
  7. Memohon akhlak yang baik
  8. Memohon anak menjadi soleh dan solehah

Selain dari itu, hadiah bacaan ayat-ayat suci Al Quran juga wajar dimanfaatkan ibu bapa sewaktu ibu hamil. Proses kelahiran sangat berbeza-beza di antara wanita, dan seharusnya diserahkan kembali situasi genting ini kepada Sang pencipta, mudah-mudahan dilindungiNya dan dipermudahkanNya.

Antara Surah-surah yang baik untuk diperdengarkan bacaan kepada janin adalah seperti berikut:

  1. Surah Yusuf: untuk mendapatkan anak yang comel/cerdik/cantik
  2. Surah Maryam: untuk mendapatkan anak-anak yang soleh dan mempermudahkan bersalin
  3. Surah Luqman: untuk mendapatkan anak yang bijak/pintar/pandai

Bacaan-bacaan ini jika lazim diperdengarkan kepada anak-anak nescaya dapat melembutkan hati mereka kepada kita dari sejak dalam kandungan lagi. Situasi membesarkan anak-anak dalam zaman serba moden dan penuh cabaran ini, tidak dapat tidak, kita mesti melibatkan Allah. Biarlah Allah yang pantau anak kita, dan sebagai ibu bapa, jadikan ayat-ayat Al-Quran sebagai sahabat anak yang terbaik. Biarkan ayat-ayat Allah memberi kesan yang mendalam dan positif kepada jiwa si kecil sebelum mereka dilahirkan lagi.

Maksud Surah al-Ra’d ayat 28:

” Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah S.W.T. Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah S.W.T. , hati menjadi tenang.”

Surah An-Nahl ayat 78-80 bermaksud:

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

Zikir, selawat dan solat sunat juga boleh diamalkan si ibu sewaktu hamil agar anak didedahkan dengan amalan-amalan kerohanian yang mampu memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa. Marilah sama-sama kita amalkan semoga Allah memudahkan segalanya. Amiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published.