Proses bersalin adalah sebuah pengalaman paling berharga bagi seorang wanita, lebih-lebih lagi jika ianya kali pertama. Bagi wanita yang baru disahkan mengandung, tentunya mereka sudah membuat perancangan di mana bakal melahirkan. Walaupun tempoh mengandung selama 9 bulan dan 10 hari diangap panjang, perkara ini tidak boleh diambil mudah dengan alasan “masih lambat lagi”.
Apakah antara kriteria diperlukan dalam memilih lokasi bersalin?
- Jarak hospital dan tempat berpantang
Ibu mengandung harus kenalpasti jarak antara kediaman dan hospital serta di manakah mereka bakal menghabiskan tempoh berpantang selepas bersalin. Untuk kemudahan dan keselesaan ibu dan anak, pilihan kediaman sendiri adalah terbaik jika ada ahli keluarga bersama. Jika tidak, kediaman keluarga boleh dijadikan pilihan. Pastikan ahli keluarga yang dapat menemani si ibu berpengalaman dan bersedia menerima kita. Keadaan mungkin jadi lebih sukar jika tiada peneman, namun perkhidmatan bidan di rumah boleh membantu.
Jika destinasi berpantang agak jauh dari kediaman, pastikan ibu dan anak mendapat keselesaan semasa dalam perjalanan. Ini kerana si ibu mungkin masih lemah akibat luka pembedahan atau lama bertarung di dewan bersalin.
Oleh yang demikian, pastikan pasangan berbincang secara harmoni kerana matlamat sebenar adalah untuk membantu si ibu pulih dalam keadaan yang menyokong situasi mereka pada waktu itu.
- Keselamatan ibu dan anak
Secara umumnya, faktor keselamatan sangat perlu diambil berat bagi menentukan di mana ibu bakal bersalin. Jika tiada pengalaman lagi, ibu dinasihatkan untuk bersalin di hospital atau pusat perubatan yang diiktiraf. Si ibu perlu membuat sedikit penyelidikan agar cadangan pilihan menepati aspek keselamatan seperti yang diingi.
Aliran terkini seperti bersalin di rumah, bersalin dalam air dan pilihan bersalin secara pembedahan adalah antara perkara yang perlu difikirkan juga. Jika pernah melalui mana-mana pengalaman sebegitu pada kelahiran sebelumnya, si ibu bebas membuat pilihan yang sama lagi. Walau bagaimanapun, pastikan pasangan merestui dan mendapat sokongan dari ahli keluarga dan pengamal professional.
Adalah penting untuk si ibu mengambil kira faktor keselamatan bayi sebagai keutamaan dan jika dari awal kandung berisiko tinggi seperti masalah kesihatan si ibu, pilihan terbaik tetap hospital atau pusat perubatan yang bertauliah.
- Anggaran perbelanjaan yang terlibat
Semasa mengandung, para ibu boleh melawat premis untuk bersalin dan menentukan kadar perbelanjaan yang bakal dikeluarkan. Pilihan terbaik masih perlukan kesederhanaan kerana apa yang akan dilalui selepas kelahiran bayi lebih utama. Jika pasangan mampu, tidak ada salahnya untuk memilih pusat perubatan bertaraf 5-bintang. Tetapi jika keadaan sebaliknya, pilihan lain masih selamat asalkan ibu membuat tinjauan sebelum membuat keputusan.
Banyakkan bertanya kepada mereka yang berpengalaman lebih-lebih lagi jika perbezaan perbelanjaan begitu ketara mengikut pilihan. Berbelanja dengan berhemah kerana persiapan melahirkan memang menuntut kos yang agak tinggi terutama di kota-kota besar.
- Reputasi pusat bersalin pilihan
Pilihan hospital kerajaan atau swasta? Inilah yang sentiasa bermain di fikiran ibu yang pertama kali mengandung. Selepas mengambil kira kos perubatan dan perjalanan, pastikan hospital pilihan mempunyai kemudahan pakar dan tenaga professional yang sangat boleh diharapkan. Rujuklah ke laman maya untuk membaca pendapat mereka yang pernah berpengalaman di hospital yang kita bakal pergi. Pilihan terbaik masih terarah kepada hospital atau klinik bersalin di bawah satu bumbung dengan klinik ibu mengandung. Ini bagi memastikan rekod perubatan senang dicapai dan amat berguna jika berlaku kes-kes kecemasan seperti bersalin awal.
- Polisi penjagaan aurat ketika bersalin
Bagi seorang ibu muslimah, pastikan hospital pilihan mempunyai polisi melindungi aurat semasa bersalin. Juga, pilihan doctor wanita adalah amat disarankan demi menjaga aurat sebagai muslim. Suami perlu peka hal berkaitan aurat dengan membuat pemeriksaan sendiri di premis dan bukannya berdasarkan pilihan isteri semata-mata.
Diharapkan sedikit sebanyak panduan di atas berguna bagi para ibu dalam menentukan lokasi bersalin kelak. Jika tiada halangan lain, berdoalah agar urusan bersalin nanti dipermudahkan dan ibu dapat melahirkan anak dalam suasana yang diharapkan.